
PELAKON Irfan Zaini menyifatkan lakonannya dalam Blood Brothers: Bara Naga sebagai detik paling bermakna dalam 18 tahun perjalanan kariernya, selepas filem aksi tersebut mencatat box-office RM62 juta hanya dalam 20 hari tayangan.
Kejayaan filem itu diraikan menerusi sambutan istimewa di Bukit Bintang di sini pada Rabu lepas, dengan kehadiran lebih 1,500 peminat dan barisan pelakonnya termasuk Irfan, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly dan Zamarul Hisham.
“Saya pernah bekerja dengan pasukan produksi besar sebelum ini, namun sambutan, pendedahan dan maklum balas peminat daripada Blood Brothers tidak seperti yang pernah saya alami.
“Ini kemuncak terbesar dalam karier saya setakat ini,” katanya kepada Bernama pada tayangan istimewa filem itu anjuran Kelab Peminat Ajith Malaysia, Skuad Rasmi Peminat Vijay dan Kelab Peminat Sivakarthikeyan Malaysia di GSC NU Sentral.
Mula berlakon pada usia 12 tahun menerusi watak kecil dalam filem Kollywood Kuruvi, Irfan berkata hanya benar-benar menemui minat terhadap bidang lakonan selepas berpengalaman mengalami reaksi penonton di pawagam.
“Tiada pekerjaan lain yang orang tidak dikenali memberi kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan. Hubungan itu sangat bernilai,” katanya.
Pelakon itu menjalani latihan fizikal ketat selama lima bulan, sebagai persediaan untuk babak aksi Blood Brothers dan beliau percaya komitmen itu, mencerminkan rasa bangga kerana mewakili bakat filem Tamil tempatan di platform nasional.
“Semua (pelakon lain) di sekitar saya pernah melakukan filem aksi sebelum ini, dan saya perlu memberi lebih kerana tidak mahu rasa rendah diri. Walaupun ada masanya saya cedera, saya tahu ia berbaloi,” katanya.
Irfan juga meluahkan hasrat untuk melihat identiti filem tempatan yang lebih bersatu.
“Suatu hari, saya berharap kita tidak hanya bercakap tentang filem Tamil, Melayu atau Cina, sebaliknya filem Malaysia bersama-sama,” katanya.
Diterbitkan Datuk Yusof Haslam dan diarahkan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga muncul sebagai antara filem meraih kutipan tertinggi di Malaysia, dengan perancangan dilakukan untuk pengedaran bagi tayangan di Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia.
Yusof yang terharu dengan sambutan sangat menggalakkan orang ramai, mengesahkan bahawa sambungan kepada filem itu, Blood Brothers Part 2: Perang Naga, sedang dilakukan.
Blood Brothers: Bara Naga sedang ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
— Bernama