KUALA LUMPUR: “Ada hikmah di sebalik wabak ini, walaupun diuji dengan Covid-19 sebelum ini namun saya bersyukur dapat menyumbang untuk merawat pesakit-pesakit yang sedang berjuang di hospital”.
Demikian menurut Chester Chang Chin Nam, 32, pesakit kes ke-18 Covid-19 yang sembuh dan menjadi penyumbang kedua plasma darah selepas plasma darahnya didapati sihat, sesuai serta memenuhi kriteria untuk dijadikan serum untuk merawat penyakit itu.
Pengurus pemasaran kasino itu menyifatkan dirinya cukup bertuah dan bangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat meskipun dirinya bukan seorang petugas barisan hadapan, ketika negara sedang dilanda jumlah kes yang semakin meningkat.
“Selepas saya sembuh dan discaj daripada hospital pada 19 Feb lepas, saya dikehendaki kembali ke hospital dua minggu kemudian untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan ketika itu, doktor mengambil sampel darah saya.
“Apabila saya mendapat panggilan daripada pihak hospital pada 6 April bahawa plasma darah saya sesuai untuk didermakan, tanpa berfikir panjang saya terus ke Pusat Darah Negara untuk tujuan itu keesokkan harinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, bukan semua bekas pesakit Covid-19 yang dapat menyumbang plasma, iaitu cecair kuning dalam darah yang mengandungi antibodi dan akan diproses sebelum diberikan kepada pesakit lain sebagai vaksin.
“Saya hanya boleh menderma maksimum 500 ml sahaja pada satu-satu masa dengan berat badan saya 75 kilogram. Selepas proses pendermaan, saya menerima sepucuk surat seolah-olah ‘sijil penghargaan’. Saya dibenarkan untuk kembali ke Pusat Darah Negara dua minggu akan datang untuk pendermaan kali kedua,” katanya.
Berikutan itu, beliau berharap agar lebih ramai bekas pesakit Covid-19 yang telah sembuh dan mempunyai kesihatan yang baik untuk tampil mendermakan darah, sekiranya memenuhi kriteria, untuk membantu merawat lebih ramai pesakit.
Berkongsi pengalamannya sebagai bekas pesakit Covid-19, Chang berkata, beliau mula mengalami gejala demam pada 3 Februari selepas pulang ke Banting, Selangor daripada bertugas di Macau, China untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.
“Selepas empat hari, demam, selesema dan batuk saya masih tidak baik, saya pergi ke klinik kesihatan dan doktor memberi bayangan bahawa saya dijangkiti Covid-19 setelah memberitahu sejarah perjalanan saya,” katanya.
Chang berkata, beliau dibawa ke Hospital Banting untuk menjalani saringan dan terus dikuarantin di hospital itu dan selepas keputusan didapati positif, dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 9 Februari.
“Empat hari pertama di HSB, saya sukar bernafas sehinggakan perlu diberi bantuan pernafasan, namun pada hari kelima kesihatan saya kembali normal namun saya masih diuji positif Covid-19 setelah dua kali saringan.
“Syukur pada hari ke-11 iaitu 19 Februari saya disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan discaj,” katanya.
Katanya, meskipun ramai yang memandang serong terhadapnya yang dijangkiti Covid-19, beliau tetap berfikiran positif.
“Ada yang bertindak ‘viral’ kan gambar saya dalam media sosial sehinggakan ahli keluarga saya pun tertekan. Saya ingin menasihatkan (pesakit) jangan ambil kisah akan perkara-perkara negatif di media sosial. “Sentiasa berfikiran positif dan dengar cakap doktor jika mahu sembuh,” katanya. – BERNAMA