MESKIPUN kekalutan dilalui tatkala berdepan situasi yang menimbulkan kerunsingan umum berikutan penularan virus Covid-19.
Ia tidak menghambat keinginan barisan atlet skuad powerlifting Para Sukma Sarawak 2020 untuk membuat persiapan.
Malah, barisan pimpinan Jamil Adam (jurulatih) tetap fokus dengan latihan seperti biasa sebagai persediaan menghadapi temasya berprestij negara ‘Sukan Para Sukma Johor 2020’ yang dijadual berlangsung 5 hingga 10 April 2021.
Pengurus Pasukan, Rosmalina Mat Darus memberitahu, persiapan pasukannya kini berjalan seperti biasa.
“Walaupun situasi negara yang agak membimbangkan dengan penularan virus berbahaya (Covid-19).
“Latihan para atlet terpilih mewakili Sarawak berjalan seperti biasa berpandu kepada jadual yang disediakan,” ujar Rosmalina ketika ditemui semalam.
Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hampir empat bulan lalu atlet sedia ada tetap menjalani latihan termasuk tempoh yang sama menyaksikan latihan dijalankan secara sendirian di rumah yang dipantau menerusi rakaman video secara talian.
Tambah Rosmalina, tiada masalah bagi atlet untuk melaksana tugasan masing-masing sepanjang menjalani latihan pada waktu PKP.
“Berbanding latihan mereka ketika ini yang dijalankan di pusat gimnasium (Stadium Sarawak, Petra Jaya) dengan jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Skuad powerlifting para Sukma Sarawak yang cemerlang ketika kejohanan dwitahunan negara di Perak 2018 dengan meraih 10 pingat keseluruhan, tujuh emas, satu perak dan dua gangsa menyenaraikan 17 atlet kesemuanya.
Sembilan atlet lelaki terdiri daripada Ariffin Joeng (49kg), Azlan Mos (54kg), Mohamad Fuad Alen (59kg), Abdul Malik Abdullah (65kg), Bryan Junency Gustin (72kg), Hermandy Rasidi (72kg0, Arrobert Sabai Sambang (80kg), Mohd. Firdaus Affandi (80kg) dan Nicodemus Manggoi Moses (88kg).
Sementara itu, himpunan atlet wanita pula terdiri daripada Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri (45kg),Melinda Tiong Zhing Zhing (45kg), Nuramirah Jamaludin (50kg), Fransisca Wells (61kg), Bibiana Ahmad (67kg), Sona Agon (73kg), Rosnani Kassim (73kg) dan Norfariza Mortadza (86kg).
Oleh Faizal Bujang