
BINTANGOR: Lawatan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing ke kediaman exco Saberkas Meradong yang terlibat dalam kemalangan, membuktikan keprihatinan pemimpin terhadap kebajikan ahli serta keselamatan pengguna jalan raya.
Koung Hiing yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong bersama barisan exco Saberkas Cawangan Meradong telah melawat Jenal Mumin yang mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini.
Katanya, beliau amat sedih melihat keadaan yang menimpa Jenal Mumin dan seorang rakannya yang terlibat dengan kemalangan pada waktu malam tersebut.
“Saya doakan mereka cepat sembuh dan dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.
“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar segera meratakan jalan utama yang tidak rata kerana ia boleh membahayakan penunggang motosikal, terutamanya pada waktu malam,” katanya kepada media.
Koung Hiing dan rombongan turut menyerahkan sumbangan kepada Jenal Mumin sebagai tanda sokongan moral dan bagi membantu meringankan beban kos rawatan.
Langkah ini selari dengan pendekatan Saberkas yang bukan sahaja memfokuskan pembangunan belia, tetapi juga prihatin terhadap kebajikan ahli yang memerlukan.
Usaha ini diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk saling membantu serta menjadi peringatan kepada pihak berwajib agar aspek keselamatan jalan raya diberi perhatian sewajarnya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua; Timbalan Setiausaha Saberkas Meradong, Azmi Tambi dan Setiausaha Program Saberkas Meradong, Amir Hamzah Mohamad Ladi.
Oleh Earl Anek