
SAN JOSE: Amazon melancarkan kumpulan pertama satelit internet ke angkasa pada Isnin, menandakan permulaan usahanya untuk membina rangkaian saingan kepada Starlink milik Elon Musk, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Roket Atlas V yang dikendalikan United Launch Alliance membawa 27 satelit ke orbit dari Cape Canaveral, Florida.
Satelit itu merupakan sebahagian daripada Projek Kuiper Amazon, yang bertujuan membina ratusan satelit sehingga membentuk konstelasi sekitar 3,200 satelit dalam beberapa tahun akan datang bagi menyediakan liputan internet global.
Pelancaran ini dilakukan selepas ditunda awal bulan ini akibat cuaca buruk.
Amazon, yang diasaskan oleh Jeff Bezos membuat tempahan slot bagi puluhan pelancaran roket pada masa depan melalui penyedia seperti SpaceX dan Blue Origin bagi memenuhi keperluan peraturan.
Di bawah lesen operasinya, syarikat itu perlu melancarkan sekurang-kurangnya 1,600 satelit Kuiper menjelang pertengahan 2026.
Rangkaian Starlink milik SpaceX kini mengendalikan kira-kira 7,000 satelit dan menguasai pasaran internet satelit global.
Namun begitu, penganalisis percaya masih terdapat ruang untuk persaingan, terutamanya dengan permintaan daripada syarikat penerbangan, penyedia telekomunikasi dan pengguna di kawasan terpencil atau kurang mendapat liputan.– Bernama -dpa