LUNDU: Majlis Daerah Lundu (MDL) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan satu kit panduan informasi mengenai perkara yang perlu diketahui oleh orang ramai dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19.
Kit panduan setebal 29 muka surat itu mengandungi 23 tajuk kecil seperti penjarakan sosial, langkah mencuci tangan yang betul, langkah pengurusan pembuangan sampah di rumah, apakah itu Covid-19 dan bagaimana wabak ini merebak.
Selain itu, ia turut memuatkan langkah –langkah semasa pemantauan dan pengawasan di rumah, pengurusan kes-kes Covid-19, disinfeksi dan pembersihan permukaan, pakaian dan peralatan akibat Covid-19, soal jawab berkaitan Covid-19 dan nombor telefon yang boleh dihubungi berkaitan COVID-19.
Satu sesi penyerahan beberapa manual kit panduan tersebut telah diadakan kelmarin oleh pihak MDL di Pasar Tamu Lundu dan beberapa pasaraya di Pekan Lundu.
Penyerahan ini melibatkan para peniaga kecil yang menjual hasil mereka di pasar tamu berkenaan.
Selain itu, bagi mereka yang berminat, kit Panduan ini juga boleh dimuat turun melalui QR Code yang ditampal pihak MDL dibeberapa lokasi kedai-kedai , pasaraya dan kepada komuniti di dalam Daerah Lundu.
Dalam perkembangan berlainan, Setiausah MDL Norashikin Brahim berkata pihaknya telah menyediakan Pasar Tamu Lundu untuk para petani dan nelayan berjaja berikutan bulan ini merupakan musim tangkapan laut dan untuk memastikan mereka tidak berniaga di tepi jalan.
“Kita memahami para petani memerlukan tempat untuk menjual hasil pertanian dan tangkapan, jadi kita sediakan pasar ini untuk mereka sepanjang tempoh PKP yang mana mereka boleh berjual setiap hari jam 7 pagi hingga 1 petang sahaja.
“Ini juga usaha kita untuk mengekalkan Daerah Lundu sebagai Zon hijau.
“Penguatkuasa MDL juga akan mengambil langkah ketat dengan memeriksa suhu badan, menyediakan pencuci tangan, dan memastikan penjarakan sosial dipatuhi oleh para petani dan orang awam,” jelasnya.