KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak membenarkan pembukaan kedai ‘hardware’ atau perkakasan pada setiap Selasa dan Khamis mulai minggu ini disambut baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata keputusan ini pastinya memberikan kelegaan kepada setiap masyarakat.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ramai yang sukar untuk mendapatkan barangan perkakasan disebabkan penjualannya tidak dibenarkan.
“Sebaliknya dalam tempoh itu, hanya penjualan barangan keperluan makanan sahaja dibenarkan.
“Justeru, keputusan Kerajaan Sarawak membenarkan pembukaan kedai hardware dalam tempoh PKP Peringkat Kedua ini disambut baik dan melegakan banyak pihak,” katanya.
Selain itu, semua kedai bengkel kereta, motosikal, alat tukar ganti, tayar dan bateri dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu Selasa dan Khamis sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kedai-kedai berkenaan akan dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari tersebut.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bermesyuarat hari ini dan telah memutuskan perkara ini iaitu semua kedai bengkel kereta, motosikal, alat tukar ganti, tayar dan bateri dibenarkan buka dua kali seminggu, Selasa dan Khamis dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sepanjang PKP,” katanya.
Pada Ahad, JPBN membenarkan kedai perkakasan dan kedai input pertanian termasuk kedal menjual alat tukar ganti jentera pertanian serta industri dibuka dua kali seminggu pada Selasa dan Khamis dari pukul 7.00 pagi sehingga 7.00 malam sepanjang PKP.