
SARIKEI: Peruntukan sebanyak RM350,000 telah diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bagi kerja penambahbaikan Taman Lalulintas Sarikei.
Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, lima taman lalu lintas yang turut disediakan peruntukan untuk tujuan penambahbaikan adalah di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Ia penting dalam mewujudkan ruang pembelajaran yang selamat, realistik dan menarik, sekali gus memaksimumkan nilai pendidikan dan rekreasi berkaitan trafik.
“Sarawak Traffic Games (Permainan Trafik Sarawak), yang telah diperbaharui pelaksanaannya oleh MOTS, meneruskan kejayaan edisi sebelum ini yang telah diadakan di Miri.
“Tahun ini, kita berbangga dapat membawa program ini ke Sarikei, dan merancang untuk meluaskannya ke bahagian lain seperti Kuching, Sri Aman, Sibu dan Bintulu pada tahun ini juga agar lebih ramai pelajar dan komuniti terlibat secara langsung dan memperolehi ilmu daripada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sarawak Traffic Games – Sarikei 2025 bertempat di Taman Lalulintas Sarikei, hari ini.
Katanya, bagi penganjuran program Sarawak Traffic Games – Sarikei 2025, sebanyak lima buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah telah mengambil bahagian, memperlihatkan komitmen tinggi daripada institusi pendidikan dalam menyokong program keselamatan jalan raya ini.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan Sarawak Traffic Games mencerminkan pendekatan proaktif kita dalam memperlengkapkan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran keselamatan jalan raya yang amat penting.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, malah ia merupakan platform dinamik untuk pembelajaran serta pemangkin dalam memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Taman lalulintas di Sarikei ini menyediakan suasana interaktif bagi pelajar untuk melibatkan diri dalam simulasi trafik yang realistik,” katanya.
Tambahnya, dalam usaha mengembangkan program tersebut, matlamat MOTS adalah untuk memastikan mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara meluas ke seluruh Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan, Datu Wong Hee Sieng; Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Stephen Wong Kie Yong selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dan Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek