
KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengumumkan pelancaran laluan baharu perkhidmatan Bas MyKuching, iaitu laluan Q08B yang menghubungkan Saujana ke Terminal Bas Bau.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong, berkata pelancaran laluan ini merupakan satu lagi inisiatif dalam usaha berterusan mereka untuk memperluas liputan pengangkutan awam di kawasan Greater Kuching dan sekitarnya.
“Pada hari bekerja dan Sabtu, bas pertama akan memulakan operasi seawal 6.00 pagi dan perjalanan terakhir pada 10.00 malam.
“Sementara pada Ahad, perkhidmatan bermula pada 6.00 pagi dengan perjalanan terakhir dari Bau pada 8.00 malam, dan dari Saujana, 9.00 malam,” katanya.
Bagi memenuhi keperluan komuniti yang bekerja, ujarnya, LPKP Sarawak akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan kepada setiap 30 minit semasa waktu puncak, iaitu dari 6.00 hingga 7.00 pagi dan 5.00 hingga 6.00 petang pada hari bekerja.
Jelasnya lagi, laluan Q08B ini turut melalui beberapa lokasi penting termasuk Pusat Perubatan Timberland, Trinity Hub, Pusat Beli-Belah Boulevard, Farley Kuching, Pasar 7th Mile, Siniawan, dan SMK Paku.
“Kami amat berbangga kerana dapat melanjutkan perkhidmatan SBST ini sehingga ke Bau melalui 7th Mile, sebuah perbandaran yang sedang pesat membangun dengan komuniti yang aktif dan dinamik.
“Laluan ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, tetapi juga menyokong pembangunan yang lebih inklusif di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Tambahnya, pelancaran laluan baharu ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam mempertingkat kebolehcapaian pengangkutan awam ke kawasan luar pusat bandar Kuching yang sebelum ini kurang mendapat sambungan pengangkutan.
Beliau berharap penduduk di kawasan 7th Mile, Siniawan, Bau dan sekitarnya dapat menikmati manfaat daripada perkhidmatan baharu ini.
Dalam masa sama, LPKP Sarawak juga sedang giat meneroka inisiatif untuk memudahkan pendaftaran kad konsesi, khusus bagi warga emas, orang kurang upaya dan pelajar yang menikmati perkhidmatan percuma di bawah program Bas MyKuching.
Michael turut memberi jaminan bahawa lebih banyak gerai pendaftaran mudah alih dan berasaskan komuniti akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi memastikan akses yang lebih mudah dan menyeluruh kepada manfaat yang disediakan.