SIBU: Program penunaian baucar bagi Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di Dewan Suarah Sibu dekat sini, akan diadakan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari sehingga 23 Julai ini.
Menurut jurucakap atau urusetia program itu, program selama lapan hari itu, bertujuan untuk mengagihkan bantuan BSH, BPN dan BKSS kepada 7,152 penerima yang beralamat di kawasan pendalaman tanpa akaun bagi kawasan Sibu, Tamin, Selangau dan Bawang Assan.
Katanya, para penerima dipanggil mengikut sesi yang telah ditetapkan yang mana keutamaan diberikan kepada warga emas.
“Warga emas kita beri mereka sesi pertama iaitu pada waktu pagi, seterusnya disambung kepada penerima biasa untuk sesi 2, 3 dan 4,” katanya kepada pemberita apabila ditemui di sini, semalam.
Jelasnya, lokasi Sibu dipilih untuk program itu diadakan adalah kerana kebanyakan penerima tinggal di kawasan bandar Sibu, namun mendaftar menggunakan alamat pendalaman.
Beliau menberitahu bahawa program itu merupakan anjuran Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan diuruskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
Program turut dibantu oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu, Pejabat Daerah, Pejabat Bendahari Negeri Sarawak dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Beliau juga berkata, beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA ditempatkan pada program itu bagi mengawal keadaan dan penjarakan sosial.
Katanya, penerima yang hadir memberi kerjasama dengan menggunakan penutup hidung dan mulut serta diambil suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan.
“Penerima sangat patuh dan sabar menunggu giliran mereka. Semua urusan penunaian mereka berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad