KUCHING: Seramai 78,123 penerima isi rumah B40 dan 270,863 bujang B40 rayuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang dikemas kini dan layak dijangka akan menerima pembayaran oleh Kerajaan Sarawak pada akhir Julai ini.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, jumlh ini adalah berdasarkan senarai BantuaN Sara Hidup (BSH) 2020 dan merangkumi 28,372 permohonan rayuan isi rumah B40 yang diluluskan melalui Pejabat Daerah dan sistem atas talian dengan peruntukan sebanyak RM117.18 juta.
“Sebagai kerajaan yang telus, Kerajaan Sarawak ingin berkongsi status terperinci untuk pelaksanaan insentif BKSS untuk isi rumah B40 yang layak iaitu setakat 17 Julai 2020, sejumlah 369,139 penerima isi rumah yang layak dan berpendapatan di bawah RM4,000 menerima BKSS B40.
“Itu adalah yang disenarai penerima BSH 2020 termasuk yang disenarai dibawah BSH 2019 dengan seramai 406,234 penerima isi rumah B40.
“ Sejumlah 406,234 penerima isi rumah B40 berdasarkan senarai BSH 2019 telah menerima pembayaran dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM304.68 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, bagi BKSS bujang berumur 21 tahun keatas yang layak berpendapatan bawah RM2,000 setakat 17 Julai adalah 419,395, ia termasuk yang disenaraikan dalam BSH 2019 dan BSH 2020 (dikemas kini berdasarkan rayuan kepada LHDN).
“Seramai 114,683 penerima bujang B40 telah menerima pembayaran dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM57.21 juta manakala 270,863 belum menerima pembayaran.
“Jumlah ini merangkumi 127,819 bujang B40 yang diluluskan melalui Pejabat Daerah dan sistem dalam talian dan mereka yang lulus akan menerima pembayaran akhir Julai ini dengan peruntukan sebanyak RM135.43 juta,” jelasnya.
Tambahnya, ringkasnya, senarai pertama penerima untuk BKSS adalah dari senarai BSH 2019, oleh itu, terdapat banyak rungutan oleh sesetengah pihak bahawa mereka layak untuk BKSS tetapi tidak disenaraikan.
“Selain itu, ada juga permintaan dari golongan bujang untuk mendapatkan bantuan kerana mereka juga terkena wabak tersebut.
“Sebagai tindak balas, Kerajaan Sarawak mengemukakan rayuan untuk isi rumah B40 dan Bujang B40 yang layak dengan permohonan ditutup pada 31 Mei 2020.
“Pada 19 Jun 2020, kita menerima senarai BSH 2020 dari LHDN untuk 369,139 Isi rumah B40 yang layak dan 419,395 bujang B40 yang layak.
“Selepas itu barulah kita dapat mengesahkan senarai rayuan untuk menampung mereka yang layak tetapi tidak disenaraikan dalam BKSS .
“Jumlah keperluan perbelanjaan adalah RM80.21 juta untuk isi rumah B40 dan RM73.75 juta untuk bujang B40 yang akan dibayar pada akhir Julai 2020,” jelasnya.
Untuk rekod, setakat 30 Jun 2020, jumlah perbelanjaan Kerajaan Sarawak untuk BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 adalah RM1,451,99 juta dan setakat ini Kerajaan negeri telah membayar sejumlah RM745.612 juta tunai untuk program BKSS 2020.