
KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan diketahui pada 25 Jun ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi hari ini, dan ia turut disahkan oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq.
“Tarikh itu ditetapkan pada pengurusan kes melalui aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini,” kata Wan Shaharuddin.
Pihak pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah pada 17 April, di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 9 November 2023 Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang membabitkan dana Armada.
Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, ahli politik itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – Bernama