
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan penahanan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun, susulan satu rakaman video berdurasi 13 saat yang tular di media sosial, semalam.
Katanya, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebut memaparkan seorang lelaki dipercayai cuba mencuri sebuah motosikal sebelum berjaya diberkas oleh orang awam berhampiran sebuah pasar raya di Tabuan Jaya.
Menurut Alexson, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pekarangan sebuah hotel di Jalan Setia Raja.
“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek dilihat cuba merosakkan kunci pencucuh motosikal terbabit namun gagal melarikan diri bersama kenderaan berkenaan.
“Suspek kemudiannya melarikan diri ke arah pasar raya berhampiran sebelum dikesan oleh pemilik motosikal tersebut dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia. Namun, saringan awal dadah terhadap suspek menunjukkan keputusan negatif.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Alexson turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Sudianta Deya Johanis di talian 019-8492500.
Pada masa sama, Alexson turut menggesa orang awam agar segera melaporkan sebarang aktiviti atau individu yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng