ENYELARAS Kontinjen Para Sukma Sarawak, Mathew Chin Hiong Choi memberitahu, atlet yang terpilih mewakili Sarawak untuk bersaing pada temasya Sukan Para Sukma Johor 2020 kini tetap berlatih.
Meskipun, tugasan dilaksanakan hampir keseluruhan mereka agak terhad kerana menjalani latihan sendirian di rumah ekoran masih menunggu kebenaran daripada pihak kerajaan untuk menjalani latihan penuh di gelanggang sebenar.
“Seperti mana diketahui atlet dari dua acara sukan iaitu tenpin boling dan powerlifting sudah menjalani latihan di venue ditetapkan.
“Berbanding atlet dari beberapa acara lain yang masih berlatih di rumah masing-masing ketika ini,” ujar Mathew ketika mengulas mengenai perkara itu semalam.
Menurut Mathew, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan untuk membenarkan atlet dari kesemua acara sukan terlibat berlatih sepenuhnya.
“Tambahan pula ketika ini situasi semasa yang masih belum selamat, dan kita berharap segala musibah yang timbul akan berakhir sepenuhnya.
“Sekali gus, dapat menyaksikan kesemua atlet dari acara sukan lain dapat turun ke gelanggang masing-masing untuk latihan,” katanya.
Sarawak merupakan kuasa besar dalam temasya dwitahunan negara ini apabila berjaya muncul juara sebanyak 13 kali untuk tempoh 26 tahun bermula dari 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018.
Oleh Faizal Bujang