
PETRA JAYA: Pesta Tasik Biru 2025 dijangka akan merangsang sektor pelancongan, ekonomi tempatan, serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di daerah Bau.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, pesta ini menjadi simbol kejayaan pembangunan fizikal dan sosial di Bau.
“Pembangunan Tasik Biru Resort City bukan sahaja menambah nilai kepada sektor pelancongan Sarawak, tetapi juga memperkukuh pembangunan ekonomi setempat untuk manfaat rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai Sambutan Tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025, dan Perasmian Tasik Biru Resort City yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur, hari ini.
“Saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak dalam merealisasikan penganjuran berskala besar ini.
“Saya menyeru seluruh rakyat Sarawak, khususnya warga Bau, untuk bersama-sama menyokong dan memeriahkan Pesta Tasik Biru 2025 demi meraikan keunikan budaya, semangat perpaduan, dan kemajuan daerah kita,” tambahnya.
Pesta ini, yang dijadualkan berlangsung selama 11 hari, akan menghimpunkan pelbagai acara warisan, sukan, kebudayaan, dan hiburan dalam satu platform komuniti.
Unity Parade yang akan berlangsung pada 24 Mei dijangka menjadi acara simbolik penyatuan masyarakat Bidayuh, Melayu, dan Cina yang telah hidup harmoni selama 205 tahun.
Antara acara ikonik lain yang bakal diadakan termasuk Jong Regatta, Miss & Mrs Tasik Biru, pertandingan memasak tradisional, gusti lengan, zumba, serta pelbagai aktiviti sukan seperti e-sukan dan bola sepak.
Sepanjang pesta ini, Gawai Bazaar Bau akan dibuka setiap hari dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam, menawarkan produk tempatan, makanan, persembahan busking, dan pentas rakyat.
Majlis perasmian Pesta Tasik Biru 2025 dan pembukaan rasmi Tasik Biru Resort City akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 15 Mei, 10.00 pagi, di Pentas Utama.
Pihak pemaju dan penaja turut menyediakan hadiah menarik, termasuk motosikal, kepada pengunjung bertuah yang mengambil bahagian dalam aktiviti tertentu.
Oleh Masrin Affirah