
MIRI : Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar di lampu isyarat Jalan Airport di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepasukan anggota dari BBP Lopeng digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan sekitar 6.22 petang tadi.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar dianggarkan 80 peratus semasa ketibaan pihak bomba akibat daripada terbakar kendiri di tengah jalan.
“Terdapat dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dalam keadaan selamat,” katanya.
Punca serta kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling