
KUCHING: Agrobank dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh sokongan kewangan kepada petani di negeri ini, sekali gus memperkasa sektor pertanian Sarawak.
Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan sempena majlis sambutan Hari Raya Agrobank Wilayah Sarawak di sebuah hotel di sini, petang tadi.
MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar PPNS, Gom Raway dan Pengarah Wilayah Agrobank Sarawak, Abdul Halek Abdullah.
Ia turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin serta Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil.
Kerjasama strategik ini bertujuan menawarkan penyelesaian kewangan menyeluruh dan mampu memenuhi keperluan komuniti tani, serta meningkatkan penyertaan usahawan dalam industri agro makanan bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
Pembiayaan yang disediakan Agrobank tertumpu kepada aktiviti pertanian mampan merangkumi pelbagai bidang seperti mekanisasi, pertanian pintar berasaskan ekonomi digital, pemprosesan hasil tani, inisiatif bioteknologi, penternakan serta agro-pelancongan.
Melalui usaha ini, Agrobank berharap komuniti tani di Sarawak dapat berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta negara menerusi sektor agromakanan.
Oleh Amanda L.