
MIRI : Projek naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh dijangka siap penghujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek yang bermula bulan ini antaranya melibatkan kerja penambahan empat lagi lorong bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ICQS tersebut.
“Untuk satu projek yang membesarkan Sungai Tujoh iaitu akan tambah empat lorong lagi jadi kerja ini sedang dijalankan.
“Ini supaya kereta-kereta Malaysia tidak payah berbaris bersama dengan kenderaan negara Brunei, kita boleh lalu dulu. Kereta Malaysia itu tidak perlu tunggu lama di Kastam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata semasa berucap pada majlis Mesra Aidilfitri 2025 di Kampung Lembah Hijau Miri, semalam.
Sebelum ini, peruntukan RM2 juta telah digunakan untuk penambahbaikan, namun masih tidak mencukupi.
Justeru Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan tambahan RM4 juta bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan.
Antara kerja naik taraf yang akan dilakukan termasuk pembinaan lorong baharu, penambahan sepuluh kaunter imigresen, pembinaan tandas awam, serta pemasangan lampu LED dan penyaman udara.
Oleh Liong Chai