
BINTANGOR: Sambutan majlis ramah tamah Aidilfitri 2025 anjuran Kelab Anak Seni Meradong (KASM) berlangsung penuh warna-warni, menyaksikan pelbagai persembahan seni yang menampilkan bakat generasi muda Meradong.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu turut diserikan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Beliau memuji usaha berterusan KASM dalam membina minat seni dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Saya amat gembira dijemput dan berpeluang menyambut Aidilfitri bersama penduduk setempat.
“KASM telah melahirkan ramai kanak-kanak yang berbakat dalam nyanyian dan tarian.
“Usaha ini perlu dihargai dan terus diberi sokongan penuh agar lebih ramai anak seni berbakat dapat diketengahkan dari daerah ini,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada ahli KASM, pertandingan ratu cantik kanak-kanak bertemakan baju raya dan cabutan tiket bertuah.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Meradong, Kaunselor Samsawi Mohamad dan Pengerusi KASM, Hanisah Rosedi.
Oleh Earl Anek