
KOTA SAMARAHAN: Komitmen tinggi terhadap pembangunan infrastruktur negeri terus diperkukuh apabila Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dijangka menerima lebih banyak insentif bagi membiayai projek mega yang strategik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, DBOS kini berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menjayakan agenda pembangunan fizikal di negeri ini, khususnya melalui penggunaan dana sendiri tanpa terlalu bergantung kepada sumber Persekutuan.
Menurut beliau, pendekatan Sarawak yang berani dan berdikari itu turut mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri sendiri memuji pendekatan kita yang menggunakan dana sendiri untuk membangunkan negeri, dan menyatakan bahawa Sarawak kini berada di landasan yang tepat dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut memaklumkan bahawa cadangan Sarawak Guest Route Map telah menerima persetujuan daripada Perdana Menteri.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin lonjakan ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun akan datang katanya.
“Inisiatif ini bakal memberikan impak besar kepada sektor pelancongan, logistik dan ekonomi tempatan secara menyeluruh. Paling penting, segala hasil pembangunan akan terus dinikmati rakyat,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan perancangan dua lagi projek infrastruktur mega, iaitu pembinaan Lapangan Terbang Tanjung Embang dan Pelabuhan Dalam Laut Kuching yang bakal dibangunkan sekitar 8 kilometer dari pesisir laut.
Jelasnya, kedua-dua projek ini dilihat akan memberi impak ketara terhadap pembangunan kawasan Kota Samarahan, Asajaya dan seluruh kawasan pesisir.
Beliau menegaskan bahawa negeri ini memiliki pelan pembangunan serta model kewangan tersendiri untuk meneruskan projek besar tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun belum dibincang secara terperinci bersama Perdana Menteri, saya telah memaklumkan secara ringkas cadangan membangunkan pelabuhan dalam serta terminal gas di laut dan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang.
“Kalau Kerajaan Persekutuan ingin membantu, kita terima dengan hati terbuka. Namun, perancangan kita akan tetap dilaksanakan berpandukan sumber dan strategi yang kita rancang sendiri,”tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang serta tetamu kenamaan lain. – UKAS