
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, telah mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Vincent di Tanjung Upar susulan aduan penduduk mengenai masalah banjir yang kerap melanda kawasan berkenaan.
Masalah banjir tersebut berlaku disebabkan lokasi rumah panjang yang terletak berhampiran Batang Baram.
“Setiap kali sungai tersebut melimpah, kawasan rumah panjang akan dinaiki air, terutamanya semasa musim tengkujuh yang berpanjangan.
“Sehubungan itu, kesediaan untuk membantu penduduk mendapatkan tapak baharu bagi pembinaan rumah panjang yang lebih selamat dan sesuai.
“Walaupun proses ini mungkin mengambil sedikit masa, saya akan terus berusaha untuk membantu penduduk agar pembinaan rumah panjang di lokasi baharu dapat direalisasikan,” katanya.
Buat masa ini, ujarnya, peruntukan sebanyak RM85,000 telah diluluskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan kerja-kerja membaik pulih rumah panjang sedia ada.
Selain itu, katanya lagi, peruntukan tambahan sebanyak RM3,500 turut disalurkan kepada Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Rumah Panjang Vincent.
Dalam ucapannya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Vincent, Gerawat turut melahirkan rasa gembira melihat penduduk di Tanjung Upar kini menikmati bekalan elektrik yang stabil daripada Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Terima kasih kepada penduduk Rumah Panjang Vincent dan rakyat Tanjung Upar atas sokongan berterusan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujar beliau mengakhiri ucapannya.
Oleh Jiku Juguong