
BINTULU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar kini melalui fasa penaiktarafan penting menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Katanya, antara komponen utama projek adalah pembinaan pintu masuk dan keluar kedua bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di sekitar kawasan sekolah.
“Saya telah maklumkan kepada pihak sekolah bahawa pelan laluan perlu diperiksa dengan teliti.
“Keselamatan pelajar, guru dan ibu bapa mesti menjadi keutamaan sebelum pintu ini dibuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain pembinaan pintu baharu, beberapa kemudahan lain turut dinaik taraf termasuk pengubahsuaian bilik darjah terbuka, penurapan kawasan sekitar perpustakaan, pengecatan semula dewan sekolah serta pemasangan pintu, tingkap dan sistem penghawa dingin baharu.
Beliau yakin, usaha menaik taraf kemudahan itu akan memberi kesan positif kepada persekitaran pembelajaran dan pengajaran di SMK Bandar.
“Saya percaya dengan kemudahan yang lebih selesa dan selamat, SMK Bandar akan terus cemerlang dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada para pelajar,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih