
SERIAN: Pembinaan Jambatan Sungai Kuhas yang menelan kos sebanyak RM500,000 di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini, selepas mengalami sedikit kelewatan daripada tarikh asal siap yang ditetapkan pada 6 April 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, telah mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan Jambatan Sungai Kuhas hari ini bagi meninjau sendiri perkembangan semasa.

Setakat ini, projek berkenaan telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 80 peratus.
Sempena lawatan tersebut, beliau menyuarakan harapan agar tiada lagi isu besar berbangkit seperti yang dialami sebelum ini, dan projek pembinaan jambatan itu dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang telah ditetapkan.
“Saya amat berharap penduduk kampung akan memanfaatkan sepenuhnya jambatan ini, bukan sahaja sebagai laluan harian tetapi juga untuk membuka kawasan tanah terbiar, sama ada bagi tujuan tanaman komersial atau pembinaan rumah.
“Ini juga secara tidak langsung akan membantu menyelesaikan masalah banjir dan kesukaran yang dihadapi oleh pekebun dan petani yang terpaksa menyeberangi Sungai Kuhas setiap hari,” katanya.
– UKAS