
MIRI: Akibat gagal mengemukakan dokumen yang sah, sebuah vesel tunda dan sebuah tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri pada 4.16 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata vesel tunda dan tongkang berkenaan telah ditahan pasukan peronda bot APMM semasa melaksanakan Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 pada kedudukan sekitar 2.9 batu nautika barat laut Kuala Baram.
“Vesel tunda tersebut bersama enam kru termasuk nakhoda warga tempatan dalam lingkungan usia 28 hingga 59 tahun telah ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan petang tadi.
Sementara itu, kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah semasa diperiksa oleh pegawai agensi.
Oleh Liong Chai Ling