
LIMBANG: Sebuah rumah dinaiki air susulan hujan lebat yang berlaku di Kampung Tabahan malam tadi.
Ketua Bomba Zon Tujuh Ramlan Marajan berkata hujan lebat yang berlaku bermula 8.30 malam itu turut mengakibatkan jalan utama tidak dapat dilalui kenderaan kecil.
“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang melakukan rondaan banjir kilat di Kampung Tabahan dan mendapati sebuah rumah telah dinaiki air.
“Sebaik tiba di lokasi, air telah surut semula dan tiada perpindahan dilakukan, jalan dinaiki air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramlan turut menasihati mangsa di lokasi terjejas supaya sentiasa berjaga-jaga sekiranya hujan lebat dan air parit melimpah.
Oleh Adeng Edrus