
MATU: Wanita terus memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni di Sarawak, menerusi sumbangan mereka dalam memperkukuh institusi kekeluargaan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, merakamkan penghargaan atas komitmen serta penglibatan aktif golongan wanita dalam membentuk komuniti yang sejahtera dan bersatu padu.
Beliau menegaskan bahawa wanita bukan sekadar pendukung keluarga, malah turut menjadi peneraju dalam pelbagai inisiatif kebajikan, keagamaan, dan kemasyarakatan.
“Wanita bukan sahaja memainkan peranan sebagai tiang seri keluarga, tetapi juga sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
“Di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada wanita yang kuat berdiri memberikan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Jom Berambeh Raya anjuran bersama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Matu dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Matu di Dewan Muhibah Haji Mahdi, Kampung Bawang semalam.
Tambah beliau, majlis yang dianjurkan ini menjadi platform penting yang menyerlahkan kerjasama erat antara Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dalam memperkasakan peranan wanita di Daerah Matu.
Melalui pelbagai program yang dilaksanakan, kedua-dua organisasi tersebut giat memperkukuh aspek kebajikan serta menyemai nilai positif dalam kalangan masyarakat setempat.
“Antara objektif utama majlis adalah untuk mengeratkan silaturrahim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri serta meraikan sumbangan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan,” jelasnya.
Turut hadir Pengerusi PPWS Daerah Matu Maryam Len dan Pengerusi PERKIM Daerah Matu Norlia Morshidi. – UKAS