
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menzahirkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, yang telah kembali ke rahmatullah.
Menurut Tun Wan Junaidi, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara. Allahyarham dikenang sebagai seorang negarawan ulung yang telah mencurahkan khidmat bakti dengan penuh dedikasi, kesantunan, serta kepimpinan berteraskan nilai-nilai murni.
“Sepanjang menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, Allahyarham telah memperkenalkan pelbagai dasar dan pendekatan yang membawa perubahan besar.
“Antara sumbangan terpenting beliau ialah gagasan Islam Hadhari, yang menekankan pembangunan menyeluruh masyarakat Islam dengan keseimbangan antara kemajuan rohani dan jasmani.
“Pendekatan ini telah memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana di mata dunia,” ujar Tun Wan Junaidi.
Di bawah kepimpinan beliau juga, Tun Wan Junaidi, berkata prinsip tadbir urus baik, pembangunan insan, serta toleransi antara kaum dan agama terus diperkasa.
“Sikap beliau yang sederhana, berjiwa rakyat, dan berhemah tinggi menjadi contoh teladan kepada pemimpin generasi kini dan akan datang,” kata Tun Wan Junaidi dalam kenyataan di paltform media sosial rasmi beliau, malam tadi.
Tun Wan Junaidi, dan isteri turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Al-Fatihah.