
KUALA LUMPUR: Biarpun sudah hampir 20 tahun dalam industri muzik, impian penyanyi Shiha Zikir untuk merakamkan lagu tradisional yang membawa roh muzik Melayu hingga kini masih belum tercapai.
Lebih sinonim dengan genre pop, Shiha yang mengidolakan karya komposer Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah, tetap berharap impiannya itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Walaupun tidak pernah berpeluang menyanyikan lagu ciptaan komposer tersohor itu semasa hayatnya, penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mengakui sentuhan muzik Pak Ngah menjadi sumber inspirasi dalam usahanya mencari karya tradisional yang tulen dan berjiwa.
“Saya pernah papar iklan di media sosial, pernah juga tanya kawan-kawan untuk dapatkan genre tradisional asli tetapi masih tak jumpa yang serupa dengan karya arwah Pak Ngah, sebab memang susah nak cari gantinya.,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Tema Genting SkyWorlds baru-baru ini.
Hingga kini, pelantun lagu Makrifat Cinta ini masih menunggu peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer yang mampu menghasilkan lagu dalam acuan tradisional asli, lengkap dengan elemen muzik live seperti karya Allahyarham Pak Ngah.

“Shiha dah bertahun-tahun berhajat nak lakukannya tetapi masih tak boleh realisasikan lagi sebab tak jumpa lagu yang betul-betul saya suka.
“Jadi, doakanlah itu antara yang Shiha teringin nak buat. Saya harap kalau ada yang boleh gubah lagu tradisional, beritahulah kepada saya, siapkan demo hantarlah… memang saya sangat alu-alukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shiha berkongsi tentang single lagu balada terbaharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Lagu yang yang dianggap sangat peribadi buat dirinya itu berjaya disiapkan dalam tempoh kurang seminggu dengan lirik banyak berkisar tentang pengalaman hidupnya.
“Insya-Allah dalam bulan ini atau bulan depan Shiha akan siapkan muzik video lagu baru ini. Lagu ini lebih dramatik sikit dan jalan ceritanya pun berdasarkan kisah saya sendiri yang terasa kehilangan.
“Macam Shiha mengalami kehilangan orang tersayang jadi dapat ilham lagu ini selepas kematian arwah abang ipar. Jadi saya nak lagu ini pun bagi makna kepada orang lain juga … jalan cerita muzik video pun lebih dramatik dan ada jalan cerita yang berdasarkan kisah hidup Shiha,” katanya. – Bernama