PUTRAJAYA: Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung kini dalam proses pengedaran kepada setiap rakyat secara percuma di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak empat keping penutup muka akan diagihkan kepada setiap isi rumah.
Beliau berkata, tugas pengedaran akan diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada Majlis Keselamatan Negeri, sebelum diedar ke daerah-daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
“Dari sini ia akan diagih rumah ke rumah oleh petugas barisan hadapan di daerah.
“Untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia akan dihantar melalui penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada Jumaat ini, selepas itu akan diagih ke peringkat daerah dan seterusnya ke rumah-rumah,” katanya pada sidang media harian nya di sini semalam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ada daerah telah pun menerima penutup mulut dan hidung dan pengedarannya dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat.
Beliau turut menasihatkan hanya mereka yang bergejala perlu memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar dari rumah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Pada masa yang sama Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa kesemua penutup yang diagihkan itu, dibeli oleh kerajaan dan bukannya disumbangkan oleh mana-mana negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pemberian penutup mulut dan hidung secara percuma kepada rakyat di negara ini berikutan permintaan yang tinggi sehingga sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Berikutan itu, kerajaan mengimport sebanyak 10 juta penutup itu untuk diagihkan kepada rakyat. – BERNAMA