KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) sejak awal penubuhannya terus menjadi medium melahirkan pemimpin berkaliber.
Naib Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebahagian besar daripada kabinet negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg lahir daripada SABERKAS.
Menurutnya, ia membuatkan SABERKAS kekal relevan dalam melahirkan pemimpin masa depan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Ramai kalangan pemimpin negeri termasuk kabinet negeri pernah memimpin SABERKAS.
“Saya yakin SABERKAS akan terus bertindak sebagai platform terbaik untuk melahirkan pemimpin masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam SABERKAS Cawangan Pantai Damai malam tadi.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, SABERKAS terus menjadi pertubuhan belia yang sentiasa menyediakan ilmu kepimpinan dan kemasyarakatan kepada anak muda.
Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman menggesa generasi muda di negeri untuk menganggotai SABERKAS bagi memantapkan ilmu kepimpinan sekaligus membendung mereka daripada terjebak dengan gejala tidak sihat.
“Apabila ada ilmu kepimpinan sudah pasti anak muda dapat mengelak daripada terjerumus dengan gejala negatif.
“Kalau boleh asuh setiap anak muda dengan ilmu kepimpinan bagi meningkatkan disiplin mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, SABERKAS turut menjadi wadah memantapkan perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum di Sarawak.
“Ini ada kerana sejak penubuhan sehingga sekarang keahlian SABERKAS adalah terdiri daripada semua kaum di Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama dua timbalan pengerusi SABERKAS Cawangan Pantai Damai Mohd Hasfa Saleh dan Merdehi Mas serta Setiausaha SABERKAS Cawangan Pantai Damai Sebeki Jen.
Oleh Diyana Samsuddin