
MONTREAL: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik penumpang antarabangsa pada 2024, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM) berdasarkan angka awal yang dikeluarkan pada Isnin oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Dunia.
Laporan itu mendedahkan bahawa jumlah penumpang global mencapai hampir 9.5 bilion pada tahun lepas, menandakan peningkatan 9 peratus daripada 2023 dan kenaikan 3.8 peratus berbanding tahap prapandemik pada 2019.
Sepuluh lapangan terbang paling sibuk di seluruh dunia mengendalikan jumlah gabungan 855 juta penumpang pada 2024, menyumbang 9 peratus daripada trafik global.
Ini adalah peningkatan 8.8 peratus daripada tahun sebelumnya dan kenaikan 8.4 peratus daripada prestasi 2019 mereka, yang berjumlah 789 juta penumpang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta mengekalkan kedudukannya sebagai yang paling sibuk di dunia secara keseluruhan, diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas Fort Worth.
Dari segi kargo udara, jumlahnya meningkat sebanyak 8.4 peratus tahun ke tahun dan sebanyak 3.9 peratus berbanding 2019 dan mencapai lebih 124 juta tan pada 2024.
Mengulas mengenai data itu, Ketua Pengarah Dunia bagi ACI Justin Erbacci berkata, “Di tengah-tengah cabaran global, ketahanan lapangan terbang paling sibuk di dunia terserlah. Semua hab ini adalah arteri penting perdagangan, perniagaan dan perhubungan.
“Ketika perjalanan udara terus berkembang, ACI bersedia untuk menyokong anggotanya dalam memastikan kelancaran pergerakan manusia dan barangan yang menjadi tunjang kemajuan ekonomi, sosial dan budaya global.” – Bernama