KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir memberi jaminan setiap pemasalahan rakyat di kawasannya akan diambil perhatian sewajarnya.
Menurutnya pendekatan itu sejajar dengan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan keperluan rakyat Sarawak termasuk mereka di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Katanya, keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat adalah sangat besar dengan mengambil kira kepentingan dan manfaatnya untuk semua pihak.
“Pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sarawak termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong merupakan bukti jelas keprihatinan kerajaan Sarawak bagi memastikan kehidupan rakyat sentiasa terjamin.
“Kita cukup bertuah kerana Sarawak mempunyai seorang Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat. Malah, dana yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak banyak membantu rakyat dan pembangunan kawasan ini.
“Di bawah kepimpinan Abang Jo, ekonomi di Sarawak terus berada pada landasan kukuh dan sudah pasti Sarawak merealsasikan impian menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya semasa meninjau status pelaksanaan kerja menaik taraf padang petanque di Pantai Tanjung Kembang di sini semalam.
Projek menaik taraf 12 padang petanque yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Pandemik Covid-19 itu, kini diteruskan semula.
Menurut Chee Kadir, masih banyak yang perlu dilaksanakan di kawasan DUN Kabong khususnya dalam aspek pembangunan.
Katanya, usaha itu bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar tetapi juga memastikan rakyat terbela dalam segenap sudut.
“Sepanjang tahun saya mewakili DUN Kabong, sudah pasti saya tahu apa yang rakyat mahu dan perlukan.
“Usaha ini bukan sekadar menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, membaik pulih rumah panjang dan rumah kampung, menaik taraf bekalan air dan elektrik serta kemudahan lain juga merangkumi aspek sosial dan pendidikan,” ujar beliau.
Chee Kadir berkata beliau tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat kepada beliau.
“Saya akan terus komited melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan nasib rakyat di kawasan DUN Kabong terbela.
“Saya berjanji akan melipatgandakan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya DUN Kabong dan mahu melihat keseimbangan dalam semua perkara di kawasan ini baik dari segi infrastruktur, kemudahan asas mahupun pembangunan insaniah,” tegas beliau.
Oleh Adi Safarman