
SARATOK: Pintu gerbang JKKK Kampung Tanjung Hilir Saratok muncul johan pertandingan pintu gerbang sempena sambutan Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka tahun ini.
Menerusi kemenangan itu, pintu JKKK Kampung Tanjung Hilir Saratok itu berjaya membawa pulang hadiah berupa hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta piala.
Naib johan pula disandang oleh Pintu Gerbang Cahaya Saguhati Kampung Melango Lama Saratok sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 dan piala.

Manakala tempat ketiga pula disandang oleh pintu gerbang Kampung Masjid Hilir (RM1,500 dan piala), manakala tempat keempat pula dimenangi oleh JKKK Kampung Melango Lama Hilir (RM1,000) dan tempat kelima pula JKKK Kampung Melango Baru Hulu Saratok (RM800).
Dalam pada itu, sebanyak lapan pintu gerbang mendapat hadiah sagu hati masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 pada pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Kalaka bersama Lembaga Amanah Kebajikan Saratok (LAKIS) Saratok itu.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri ketika merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Berayo Bersamo ADUN Kalaka di Gelanggang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn, di sini semalam.
Selain pertandingan pintu gerbang, Mohamad Duri turut menyampaikan pemenang pertandingan bertuntung dan hiasan rumah sempena Aidilfitri yang dianjurkan oleh tiga JKKK.
“Dengan wujudnya pertandingan ini setiap tahun, saya berharap semangat sambutan Aidilfitri pada kali ini dapat dirasai sekali gus memupuk semangat kerjasama antara penduduk dalam membina pintu gerbang di kampung masing-masing.
“Malah keistimewaan dan kelebihan pertandingan ini adalah merupakan salah satu cara untuk memelihara, mengekal dan menghidupkan tradisi lama masyarakat di setiap kampung supaya ia tidak pupus dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Beliau berharap akan lebih ramai lagi penyertaaan bagi pertandingan pintu gerbang, bertuntung serta pertandingan hiasan rumah bagi memeriahkan sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun depan.
Turut hadir ADUN Krian, Friday Belik, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Pemanca Sahari Gani dan Pemanca Lim Guan Ann.
Oleh Adi Saparman