LAWAS: Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok yang sedang rancak dalam pembinaan bakal menjadi pemangkin untuk menggerakkan pembangunan di kawasan Ulu Merapok, Lawas.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata setakat ini fasa pertama projek berkenaan berjalan lancar dan dijangka dapat siap dalam tempoh 3 bulan lagi.
“Ini adalah peringkat fasa pertama dan kalau tidak disebabkan PKP, projek ini dijangka siap pada Oktober tahun ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut berkata perancangan bagi fasa kedua projek sudah dibuat, bagaimanapun perlu penelitian rapi sebelum dilaksanakan
Tambahnya lagi, pusat itu akan memberi peluang kepada penduduk setempat terlibat dalam perniagaan dan perusahaan tempatan, khususnya pertanian.
Awang Tengah menyatakan demikian kepada media selepas melakukan tinjauan projek tersebut di Kampung Bukit Puan, Ulu Merapok Lawas.
Projek bernilai RM9,696,924.00 itu bakal menyediakan prasarana lengkap untuk kemudahan awam seperti klinik, pasar dan gerai, padang selain menawarkan ruang pejabat pelbagai agensi digunakan secara bersama.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Pegawai Daerah Limbang, Sufri Awang Said.
Oleh Adeng Edrus