

ANGGOTA APM sedang berusaha membuka jerat di leher seekor buaya di kebun sawit Rumah Entinggi Krangan Krian, pagi tadi. Foto APM Saratok
SARATOK: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok telah menyelamatkan seekor buaya sepanjang 1.8 meter yang terkena jerat di kebun sawit Rumah Entinggi Krangan Krian di sini, pagi tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada pengadu sekitar 8.02 pagi.
“Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang mengatakan seekor buaya terkena jerat di bahagian leher di kebun sawitnya dan dan meminta bantuan APM Saratok untuk menangkapnya.
“Anggota yang bertugas mendapati benar ada seekor buaya tembaga sepanjang 1.8 meter yang terkena jerat di kebun sawit milik pengadu dan anggota yang bertugas segera menangkap dan menyelamatkan buaya tersebut kerana bimbang akan keselamatan orang awam,” katanya.
Nur Athirah berkata anggota APM mengambil masa setengah jam untuk menjinakkan reptilia tersebut dengan menggunakan perlalatan khas.
“Anggota APM mengambil masa setengah jam bergelut dengan buaya tersebut sebelum ia berjaya ditangkap serta diikat dan segera dibawa balik ke PKOD Saratok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nur Athirah berkata sepanjang operasi tersebut dijalankan, tiada berlakunya sebarang kecederaan dan anggota APM dalam keadaan selamat.
Oleh Adi Saparman