KUALA TERENGGANU: Yayasan Bank Rakyat terus komited melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Antaranya adalah program Pembangunan Usahawan Industri Kampung dengan kerjasama Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi golongan suri rumah di kawasan luar bandar.
Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata pihaknya menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi penganjuran kursus jahitan untuk suri rumah selama setahun dan masing-masing akan menerima mesin jahit bernilai RM5,000.
“Peserta perintis ini bukan sahaja mendapat kemahiran jahitan, malah turut berpeluang menduduki peperiksaan akhir Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Penolong Naib Canselor MASMED, Prof Dr Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohammad berkata, selain memperkasakan potensi dan personaliti diri peserta, program keusahawanan itu juga akan mendedahkan peserta dengan pengalaman bekerja secara berkumpulan.
Katanya pelaksanaan program itu diharapkan dapat membuka peluang kepada golongan suri rumah menambah pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.- Bernama