
KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) semakin aktif dalam membantu golongan usahawan ke arah ekonomi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman berkata antara inisiatif yang dilancarkan oleh mereka dalam usaha mendigitalisasikan usahawan di Sarawak termasuk pengenalan kepada ‘Go Digital’.
“Kami dalam masa ini bekerjasama dengan lebih banyak kumpulan penyelidikan untuk berusaha membawa idea ke arah pengkomersialan dan penyelesaian dunia sebenar kepada usahawan itu sendiri.
“Hal ini kerana, kami komited untuk mendigitalkan usahawan melalui pelbagai program kami termasuklah ‘Go Digital’, yang mana kami menyediakan kelengkapan yang berkualiti kepada mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.



Selain itu jelasnya, SDEC pada tahun lalu turut melancarkan Hab Inovasi di Mukah dan ‘Makeramai Makerspace’ di Plaza Merdeka yang berperanan sebagai sebuah hab yang menjadi pusat pertemuan bagi pelajar, penyelidik dan usahawan untuk meneroka teknologi, berkolaborasi merentasi pelbagai disiplin serta mengubah idea kepada penyelesaian yang bersifat praktikal.
Antara lain, beliau memberitahu salah satu kejayaan besar SDEC pada tahun lalu ialah pelancaran Teknologi Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) Enam Hala di menara ‘Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication’ (Smart) yang membolehkan beberapa pengendali rangkaian mudah alih berkongsi infrastruktur rangkaian teras sama, sambil mengekalkan rangkaian capaian radio (RAN) masing-masing. – UKAS