KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan 400,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan jumlah deposit RM1.5 bilion tahun ini.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan jumlah deposit sebanyak RM1.3 bilion.
“Kami cuba untuk teruskan kejayaan tahun lepas meskipun suasana tahun ini berdepan dengan cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19.
“Saya yakin kami dapat tingkatkan jumlah deposit berdasarkan rekod bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kami telah catat peningkatan deposit RM184.02 juta berbanding tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Wan Saiful berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah deposit SSPN adalah RM564.20 juta berbanding RM380.18 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata promosi Cabutan WOW! SSPN-i Plus akan berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Dis bagi cabutan bulanan manakala Cabutan Tahunan pula dari 1 Januari hingga 31 Disember, 2020.
Katanya, pembukaan dan penambahan akaun SSPN-i Plus boleh dibuat secara tanpa tunai dengan mudah, cepat dan selamat di www.lovesspn.com selain mengunjungi pejabat PTPTN negeri.
Melalui Cabutan WOW! SSPN-i Plus ini, keseluruhan seramai 1,123 pendeposit akan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan secara keseluruhannya bernilai RM1 juta.
Hadiah utama Cabutan Tahunan berupa kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line, manakala cabutan bulanan berbentuk wang tunai.- Bernama