
MIRI: Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di Sarawak menjelang 2026 dijemput untuk menghadiri sesi ceramah komuniti yang akan diadakan Sabtu ini.
Ceramah yang berlangsung di Bilik Audio Visual, Pustaka Miri itu, bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Ceramah ini merupakan hasil kolaborasi antara Pustaka Negeri Sarawak dan Curtin University, Malaysia dari Program Sarjana Perniagaan Antarabangsa (Master of International Business – MIB).
Sesi ceramah ini akan membincangkan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma secara lestari di Sarawak, dengan memberi tumpuan kepada strategi, cabaran, dan penyelesaian berpotensi dalam merealisasikan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan mampan bagi semua lapisan masyarakat di negeri Sarawak.
Antara objektif utama ceramah ini adalah meneroka pendekatan dan model pelaksanaan pendidikan tinggi percuma yang boleh disesuaikan dengan konteks Sarawak.
Selain itu, mengenal pasti cabaran dalam aspek pembiayaan, kualiti pengajaran, dan kapasiti institusi pendidikan tinggi.
Ceramah itu diadakan juga untuk meneliti penyelesaian berasaskan data dan pengalaman antarabangsa dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam pembentukan dasar pendidikan yang inklusif dan mampan.
Ceramah ini akan menampilkan beberapa panel pakar khas dari Universiti Malaysia Curtin.
Antaranya, Ahli Panel 1: Prof. Madya Dr. Tek Yew Lew dari Fakulti Perniagaan, Curtin University, Malaysia, Ahli Panel 2: Dr. Samuel Adeyinka-Ojo (Fakulti Perniagaan, Curtin University, Malaysia), dan Moderator: Dr. Ting Qian Hui (Curtin University, Malaysia).
Menurut Pustakawan Pustaka Miri, Dorithy Dela Lawrence, sesi ceramah komuniti ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di Sarawak menjelang 2026, serta berinteraksi dengan pakar dan membina rangkaian sosial dalam bidang pendidikan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai yang berminat boleh menghubungi Pustaka Negeri Sarawak, Miri di talian 085-422 525 atau melalui media sosial rasmi mereka.
Oleh Liong Chai Ling