
BINTULU: Mangsa kebakaran di Sungai Plan, Tanjung Kidurong menerima pelbagai keperluan asas menerusi Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana Kebakaran Sungai Plan anjuran Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat PETRONAS yang berpangkalan di sini.
Sumbangan yang diagihkan merangkumi kelengkapan tidur seperti tilam dan bantal, peralatan pembersihan, barangan persekolahan, serta makanan dan minuman.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan tersebut.
“Kami amat berdukacita atas musibah kebakaran di Sungai Plan yang melibatkan 19 rumah dan meragut nyawa seorang warga emas.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa, dan semoga semua yang terjejas terus tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan gereja tempatan yang segera memberi sokongan kepada mangsa.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan, termasuk NGO dan pihak gereja yang turut tampil memberi sokongan,” ujar beliau.
Semalam, sebanyak 19 rumah di kawasan setinggan Sungai Plan dilaporkan musnah akibat inisiden kebakaran yang turut mengorbankan seorang warga emas.
Oleh Carolyne Utih