



KUCHING: Penghuni kediaman di Lorong Matang Jaya 6A5 di sini mengalami detik cemas apabila bank kuasa atau ‘power bank’ meletup secara tiba-tiba.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada 8.30 malam tadi.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dengan kekuatan enam orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba mendapati api telah dipadamkan sepenuhnya oleh penghuni rumah.
“Tiada operasi pemadaman dilakukan manakala pasukan bomba hanya membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.10 malam setelah pihak bomba memastikan semua keadaan kembali selamat.
Oleh Rynna Sha’erra