

SARATOK: Pemasangan pembetung ke kawasan tanaman padi, ruai rumah serta jalan di Rumah Siti Belanda, Sungai Kali Kaba akan dinaik taraf.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek tersebut akan dikendalikan oleh agensi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dengan lawatan tapak telah dilakukan.
“Kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan rakyat dengan menyediakan dana besar melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk menaik taraf infrastruktur asas terutama di kawasan rumah panjang yang memerlukan untuk dinaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan perjumpaan bersama Tuai Rumah Siti Belanda dan Tuai Rumah Joshua Kali Kaba bagi membincangkan permohonan naik taraf prasarana di kawasan tersebut, di sini semalam.
Mohamad Duri menambah, beliau sering menggunakan kaedah secara bersemuka bagi mengenal pasti keperluan utama rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, bersama Pusat Khidmat ADUN Kalaka, agensi pelaksana dan pejabat daerah. Masalah akan dibincangkan bersama bagi jalan penyelesaian yang terbaik untuk dilaksanakan.
“Adalah penting yang mana hubungan yang erat sesama pihak agensi pelaksana projek bersama pemimpin masyarakat dan wakil rakyat agar setiap masalah dapat dikenal pasti dan diteliti bagi penyelesaian yang baik dan bermanfaat kepada rakyat.
“Pada dasarnya, kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pemimpin masyarakat serta agensi pelaksana telah membolehkan projek daripada BDDA mahupun RTP di DUN Kalaka dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Oleh itu, saya berharap kerjasama dan kesabaran daripada semua pihak amat penting dalam memastikan usaha ini mencapai sasaran dan semua mendapat impak yang positif daripada perkara ini, dan agensi-agensi kerajaan berkaitan digesa untuk sentiasa memantau setiap projek pembangunan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” ujarnya.
Selain itu beliau berkata, setiap masalah yang timbul juga perlu diatasi dengan sebaik mungkin agar komitmen kerajaan Sarawak membawa pembangunan tidak dipertikaikan.
Turut serta dalam perbincangan tersebut adalah wakil daripada JPS Bahagian Betong serta Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee dan Kaunselor Saee Ason.
Oleh Adi Safarman