
MARUDI: Hampir RM2 juta telah diperuntukan untuk membangunkan Kampung Seberang Lubok Nibong Marudi bagi melaksanakan pelbagai projek, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, berkata antara projek yang telah dilaksanakan ialah projek pembinaan jalan ke tapak perkuburan, pembinaan jalan dari ladang kelapa sawit ke kampung berkenaan, pembinaan jeti dan pembinaan jalan kampung.
Beliau berpuas hati dengan perubahan dan perkembangan kampung ini yang mana penduduk kampung tersebut telah banyak menikmati pembangunan hasil kerjasama Ketua Kampung yang bertanggungjawab dan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika mengadakan kunjungan Aidilfitri ke kampung tersebut, kelmarin.
Kampung Seberang Lubok Nibong adalah satu-satunya kampung masyarakat Kiput Islam dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Mulu dengan jumlah penduduk yang tidak ramai.
Penduduk tersebut merupakan penyokong tegar kerajaan baik semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) mahupun kerajaan sekarang di bawah pentabiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut Gerawat setiap kali pilihan raya negeri penduduk kampung ini merupakan penyokong tegar kerajaan dengan memberi 100 peratus sokongan.
Beliau merakam terima kasih kepada Ketua Kampung, Mendeli Mos atas kepimpinan yang baik dan menjaga keperluan penduduk kampung.
Berkenaan dengan keperluan kampung seperti tangki air, Gerawat menegaskan beliau akan menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk membeli keperluan tersebut dan akan menyerahkan dua unit tangki air bagi setiap rumah.
“Saya akan meneruskan usaha untuk melaksanakan beberapa lagi projek rakyat atas permintaan penduduk di sini seperti pemasangan solar dan penyambungan bekalan elektrik,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, Setiausaha di Pejabat Premier Sarawak, Dominic Nyurang, ahli-ahli majlis serta wakil agensi kerajaan dan ketua masyarakat dan ketua kaum.
Oleh Jiku Juguong