
SIBU: Jambatan yang menghubungkan tebing barat dengan pusat Bandar Sibu berkemungkinan akan menyerupai Jambatan London (London Bridge).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penduduk Sibu tidak mahu ketinggalan dan mereka mahukan jambatan seperti di London, menghubungkan tebing barat Sibu ke pusat bandar.
“Jambatan Muara Lassa dan Batang Rajang baru sahaja siap, dan kini Dr Annuar mahu membina satu lagi jambatan.
“Penduduk Sibu tidak mahu ketinggalan dan mereka mahukan jambatan seperti di London. Ia bukan jambatan biasa, ia boleh dibuka, sama seperti London Bridge. Baiklah, saya boleh katakan kita meluluskannya,” katanya sambil berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.

Abang Johari berkata, sekiranya hasrat tersebut menjadi kenyataan, jambatan itu akan merancakkan ekonomi khususnya sektor pertanian.
“Saya akan cari bajet untuk membina jambatan yang baru kita bincangkan, semoga ia akan menjadi kenyataan.
“Dan jika ini berlaku, potensi ekonomi kawasan itu akan meningkat termasuk dalam bidang pertanian kerana tanah itu mempunyai tradisi menoreh getah dan bercucuk tanam sejak sekian lama.
“Atas sebab itu, saya tidak teragak-agak untuk bersetuju. Marilah kita sama-sama berdoa untuk pembinaan ‘Jambatan London’ ini. Atau apa sahaja yang kita putuskan untuk memanggilnya mungkin ‘Jambatan Sibu’,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee telah membangkitkan usul pembinaan jambatan tersebut.
Annuar berkata, jambatan itu akan menjadi ikonik.
“Dengan projek pembangunan semula Kampung Datu Lama sedang dijalankan, dan cadangan jambatan ikonik, kawasan itu pasti akan menjadi tarikan pelancong dan meningkatkan ekonomi tempatan,” kata beliau.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Oleh Akun Giman