
MARUDI: Pembinaan rumah panjang di kawasan Marudi terus mendapat perhatian wakil rakyat dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan dan kemajuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, rumah panjang baharu yang dibina akan menggantikan struktur lama yang uzur dengan reka bentuk moden berasaskan konkrit.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, tetapi juga menjamin keselamatan serta ketahanan rumah panjang dalam jangka masa panjang,” katanya hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Kampung Sungai Babi, Marudi bagi meninjau pembinaan rumah panjang baharu di Rumah Enjop.
Projek ini mendapat sokongan kerajaan menerusi peruntukan geran MRP dan projek RTP DUN Mulu, termasuk RM80,000 untuk meratakan tapak dan RM50,000 daripada pinjaman Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Setiap 27 pintu rumah panjang tersebut menerima bantuan RM3,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu kemudian meninjau Rumah Billy di Sungai Engkaras dan mengumumkan sumbangan RM3,000 bagi setiap pintu serta RM100,000 tambahan untuk JKKK bagi kerja-kerja penambakan tanah dan pembelian bahan binaan.
Terdahulu, beliau merasmikan Rumah Panjang Sumbang Embam di Stapang E, Baram, yang kini dihuni 116 orang selepas lima tahun pembinaan.
Gerawat memuji semangat perpaduan komuniti dan mengumumkan RM15,000 daripada Geran MRP untuk pembelian jubin serta RM5,000 bagi majlis tersebut.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, menekankan kepentingan memahami dasar kerajaan sebelum menolak sesuatu projek, termasuk projek karbon.
Isu infrastruktur seperti jambatan Sungai Selejau dan bekalan air turut dibawa ke perhatian JKR dan JBALB.
Dalam kesempatan itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan turut menawarkan pinjaman perumahan daripada pihak HDC hingga RM50,000 untuk membaik pulih atau membina rumah baharu sekali gus menggalakkan golongan muda memainkan peranan dalam pembangunan rumah panjang. – UKAS