ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menghantar bekalan makanan ke sembilan lokasi di pedalaman Sarawak, setakat semalam dalam misi membantu menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut kenyataan akhbar ATM, memasuki hari keempat misi penghantaran bekalan makanan, pihaknya telah menghantar ke sembilan lokasi dengan baki empat lokasi lagi dijangka selesai dalam masa terdekat bergantung kepada keadaan cuaca.
“ATM meneruskan khidmat bakti dalam menyalurkan bantuan bekalan makanan ke kawasan pedalaman di Sarawak melalui koordinasi padu Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) dan pasukan No 5 Skuadron EC725 dari Pangkalan Udara Labuan.
“Sejumlah 18 penerbangan diperlukan bagi menghantar bekalan makanan ke 13 lokasi iaitu di Bario, Long Sait, Patik, Ba Lai, Long Lellang, Long Loyang, Long Sobeng, Long Aton, Long Akah, Long Apu, Long Anap, Apau Nyaring dan Long Palai.
“Bantuan bekalan makanan ini meliputi barangan seperti beras, minyak dan gula dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,959 bungkusan,” kata dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, di Bahagian Miri, pasukan 20 RAMD terlibat dalam membantu mengangkut naik dan turun barangan untuk diterbangkan ke lokasi-lokasi di Long Sobeng, Long Aton dan Long Akah semalam.
ATM terus komited dalam melaksanakan misi penghantaran bekalan ini sebaik mungkin bagi memastikan rakyat Sarawak terutama di pendalaman tidak terputus bekalan makanan di sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Sementara itu, pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan dengan memberikan bantuan logistik untuk membawa bantuan peralatan kesihatan ke Sabah dan Sarawak.
Kerja-kerja memasukkan barang-barang berupa peralatan perlindungan diri (PPE) serta keperluan-keperluan berkaitan dilaksanakan seawal jam 5.00 pagi Selasa oleh anggota TUDM di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.
Penerbangan “Logistic Comm’’ ini turut membawa peralatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Malaysian Relief Agency (MRA) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MERCY Malaysia untuk kegunaan petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan jangkitan Covid-19.
Pesawat A400M telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin menuju ke Kota Kinabalu, Labuan dan Kuching.