
SEBAUH: Pekan Sebauh kini dalam fasa transformasi dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menjadikannya sebuah bandar pada masa hadapan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata antara projek utama yang dirancang termasuk pembinaan masjid, gereja, stadium,serta Jambatan Sebauh yang dijangka siap tidak lama lagi.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa permohonan untuk membangunkan Sebauh Waterfront telah dikemukakan kepada Lembaga Kemajuan Bintulu dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Projek-projek ini bukan sahaja akan mengubah landskap Pekan Sebauh, malah menjadi langkah penting ke arah menaik tarafnya kepada status bandar,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir Sebauh di Balai Raya Kampung Hilir, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan bandar baharu Sebauh (Sebauh New Township) telah diluluskan, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk pembangunan jangka panjang.
Mengulas mengenai Jambatan Sebauh, beliau menjelaskan bahawa struktur tersebut akan menjadi laluan utama ke kawasan sekitar, sekali gus merancakkan pembangunan dan memperkukuh pertumbuhan sosioekonomi penduduk setempat.
“Sebaik sahaja jambatan ini siap, kita akan menyaksikan perubahan ketara, bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga dalam kehidupan masyarakat di sini,” tambahnya.
Sebagai tanda sokongan kepada komuniti, beliau turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada JKKK Kampung Hilir Sebauh dan RM10,000 kepada Biro Wanita JKKK Kampung Hilir Sebauh bagi melaksanakan aktiviti riadah yang bermanfaat kepada penduduk setempat. – UKAS