ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah telah disahkan negatif ujian wabak Covid-19.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha akhbar Awang Tengah, Saiful Bahari bahawa keputusan ujian Awang Tengah dan Fatimah telah dikeluarkan pada 7 April yang mengesahkan kedua-dua mereka negatif virus itu.
Menurut Saiful, bagaimanapun Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan kini masih menjalani kuarantin diri sehingga 10 April.
“Walaupun beliau diuji negatif, namun beliau akan kekal menjalani kuarantin diri sehingga 10 April, dan bekerja dari rumah.
“Beliau masih mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan dari rumah, selain turut berkomunikasi dengan orang lain dan menyelaraskan perkara yang berkaitan dengan pengagihan bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” kata Saiful menjelaskan perkara itu, semalam.
Manakala Fatimah turut mengumumkan beliau negatif bagi ujian Covid-19 melalui laman sosial Facebooknya serta melalui kumpulan applikasi WhatsApp bersama media tempatan.
Fatimah berkata beliau menerima makluman mengenai keputusan ujiannya negatif daripada seorang doktor di Hospital Umum Sarawak ketika beliau sedang mengadakan mesyuarat melalui persidangan video dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Terdahulu, semua mereka yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan di Wisma Bapa Malaysia pada 27 Mac lalu diarahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk menjalani ujian Covid-19 serta menjalankan kuarantin diri berikutan salah seorang daripada mereka yang menghadiri mesyuarat itu adalah positif Covid-19. Selain daripada Awang Tengah dan Fatimah, ahli jawatankuasa lain yang menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit.