
NEW DELHI: Pegawai lapangan terbang di selatan India menggagalkan cubaan menyeludup enam monyet terancam dari Malaysia ke India dan menghantar semula hidupan liar yang dirampas itu ke Kuala Lumpur.
Empat ekor siamang dan dua ekor beruk ekor babi utara dirampas daripada seorang penumpang India yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda, Bengaluru, pada malam Ahad lalu.
“Kesemua monyet itu telah diterbangkan semula ke Malaysia pada Isnin. Kami mengesan peningkatan trend penyeludupan spesies eksotik ke Bengaluru sejak setahun lalu,” kata seorang pegawai kastam India seperti dipetik dalam laporan akhbar New Indian Express hari ini.
“Berdasarkan profil, kami menumpukan perhatian kepada individu tertentu ini, yang merupakan penduduk asal Tamil Nadu. Enam monyet itu disembunyikan di antara coklat dan pakaian dalam satu beg troli yang didaftar masuk ketika menaiki pesawat,” katanya.
Terdapat banyak kes penyeludupan hidupan liar eksotik dari Asia Tenggara ke India kebelakangan ini.
Pada Disember lalu, dua individu yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Bengaluru selepas cuba menyeludup dua ungka dengan menyumbatnya ke dalam beg troli.
Pada November tahun lalu, pegawai kastam di Lapangan Terbang Bengaluru merampas 40 haiwan jarang ditemui dan terancam termasuk pelbagai spesies kura-kura, cicak manik, skink shingleback, iguana badak juvenil dan ungka yang cuba diseludup masuk ke India dari Malaysia.
-BERNAMA