KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran tinggi bagi menarik pelaburan berteknologi tinggi untuk memenuhi agenda pembangunan negara, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Antara tumpuan utama yang memerlukan tenaga kerja terlatih adalah dalam bidang automasi, logistik, rawatan kimia dan air sisa serta teknologi percetakan, kata beliau.
“Apa yang kita belajar semasa Covid-19 ialah kita perlukan teknologi-teknologi baharu seperti robotik dan automasi dan sudah tentulah perkara ini diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Azmida Technical College, di sini, semalam.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia boleh mengambil peluang dan berpotensi untuk menarik pelaburan asing terutama syarikat Jepun yang baru-baru ini mengambil keputusan untuk memindahkan serta menempatkan semula kilang mereka dari China susulan pertikaian perdagangan Amerika-China.
“Pada pandangan saya pelabur-pelabur ini sudah bersedia untuk mengalih pelaburan mereka tetapi Malaysia juga harus bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih.
“Kita boleh tawarkan kepada mereka, antaranya infrastruktur yang baik serta tenaga kerja yang terlatih dan ini boleh mewujudkan lebih banyak nilai kepada penyertaan tempatan,” kata beliau.
Mohamed Azmin menambah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga giat menjalankan inisiatif bagi menempatkan graduan daripada pusat latihan kemahiran dan kolej teknikal dan vokasional untuk memenuhi permintaan industri.
“Setakat ini, kita telah mengenalpasti 105 syarikat dalam 16 sektor tertentu yang memerlukan 1,185 tenaga mahir,” katanya.
Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut menyatakan bahawa Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan membiayai pembelajaran 100 pelajar Azmida Technical College dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.- Bernama